Wednesday, August 25, 2010

Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik 2010


Bulan Kemerdekaan 2010


Tahun ini sambutan bulan kemerdekaan dijalankan ketika umat Islam di Malaysia
menunaikan ibadat puasa.Antara aktiviti yang dijalankan ialah:

1. Mengibarkan jalur gemilang dan bendera negeri Sabah.
2. Pertandingan sudut kemerdekaan di setiap kelas.
3. Pertandingan mewarna jalur gemilang untuk pelajar-pelajar Tingkatan Satu
4. Pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik secara solo / berduet
5. Majlis berbuka puasa / sholat Tarawi guru-guru dan pelajar Islam Asrama

Thursday, July 22, 2010

INFO TERKINI

1. Latihan kebakaran akan dijalankan pada penghujung bulan Julai 2010.
Semua guru, pelajar dan kakitangan sokongan harap bersedia.

2. Kolokium Tingkatan 6 Atas akan bermula pada 29 - 30 Julai 2010.

3. Perkhemahan Unit Beruniform Tahun 2010 bermula pada petang Jumaat 29 Julai.

4. Majlis menandatangan buku rekod kemajuan pelajar akan dijalankan pada
hari Sabtu 24 Julai 2010. Semua ibu bapa dijemput hadir.

Wednesday, May 5, 2010

SELAMAT DATANG PELAJAR TINGKATAN 6 RENDAH 2010

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Selamat datang diucapkan kepada para pelajar yang akan mendaftar masuk ke tingkatan 6 Rendah bagi sesi 2010 pada 10 Mei 2010 nanti. Tahniah diucapkan kerana telah terpilih sebagai warga SMKKP bagi pelajar dari SMK St. Peter Bundu dan lain-lain sekolah. Selamat kembali bagi pelajar SMKKP. Jangan lagi tidur-tidur, bangun dan persiapkan diri bagi menghadapi era globalisasi yang tidak ada belas kasihan terhadap mereka yang culas dan luweh. Tanamkan azam baru bagi menelusuri perjalanan sebagai pelajar Pra-Universiti yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Baiklah, sebelum saya terlupa, saya ingin maklumkan bahawa pada 7 - 9 Mei 2010 nanti SMKKP akan mengadakan aktiviti bersama BTN khusus untuk para pelajar kelas peperiksaan. Diharapkan para pelajar yang terpilih akan bersiap sedia. Surat makluman telah diedarkan kepada ibu bapa pelajar. Manfaatkan sebaiknya peluang yang diberikan oleh pihak BTN untuk meningkatkan potensi diri anda ke tahap semaksima yang boleh.
Tahniah juga kepada para pelajar kelas peperiksaan kerana telah dipilih untuk menghuni Asrama SMKKP. Anda sangat bertuah kerana pihak sekolah sangat perihatin terhadap pelajaran anda. Oleh itu, manfaatkanlah peluang ini sebaik-baiknya. Tinggal di asrama akan memudahkan anda mengikuti kelas tambahan dan juga memudahkan anda membentuk perkumpulan pelajar (study group). Gunakan peluang yang diberi sepenuhnya.
Belajarlah bersungguh-sungguh, tawakkal kepada Allah dan ingatlah ibu bapa anda yang menaruh segunung harapan terhadap anda. Jumpa lagi di lain lembaran sesawang.

Saturday, April 24, 2010

Peperiksaan Datang Lagi...

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia... Tidak lama lagi, kita akan bercuti sekolah iaitu dari 05 Jun 2010 - 20 Jun 2010. Jadi, seperti biasalah, sebelum cuti, akan diadakan peperiksaan bagi menilai apa yang pelajar pelajari dan dapati sepanjang mereka belajar bagi penggal pertama persekolahan. Saya amat berharap para pelajar tidak akan menghampakan ibu bapa serta guru masing-masing.
Semua pelajar diharap bersiap siaga bagi menghadapi peperiksaan nanti yang akan bermula pada 19 Mei 2010 - 28 Mei 2010. Tenangkan minda sebelum masuk menghadapi peperiksaan. Jangan gelabah, selawat ke atas nabi bagi yang muslim dan yang penting jangan menjawab apa yang anda tahu. Tetapi jawablah apa yang soalan kehendaki, insyaalah anda akan berjaya. Jangan lupa juga untuk menyemak jawapan anda sebelum dihantar kepada guru yang menjaga peperiksaan.
Sebelum saya terlupa, hari ini (24 April 2010) ujian MUET dijalankan di SMKKP. Ujian ini dijalankan terhadap pelajar tingkatan 6 Atas dan juga bagi calon-calon persendirian.
Oklah, semoga pelajar semua bersedia menempuhi peperiksaan yang menjelang tiba.

Monday, April 12, 2010

Ujian Terancang 1 - 2010






Assalamualaikum & Salam Satu Malaysia. Bertemu lagi kita dalam arena blogger ini. Baiklah, minggu nan lalu, SMKKP telah mengadakan Ujian Terancang buat kali pertama bagi tahun 2010 ini. Sepanjang 6-7 April semua pelajar menduduki ujian tersebut.
Semua pelajar adalah wajib menduduki ujian tersebut melainkan atas sebab-sebab khas seperti sakit (mesti ada sijil cuti sakit), mewakili sekolah untuk acara sukan dan sebagainya.
Untuk makluman para pelajar semua, SMK Kuala Penyu juga telah dilawati oleh Sektor Pengurusan Akademik bagi memantau proses P&P dan juga hal-hal berkaitan pentadbiran sekolah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada warga SMK Kuala Penyu kerana memberikan kerjasama yang baik dan syabas juga kepada guru-guru serta pentadbir kerana sangat bersedia menerima kunjungan pegawai-pegawai dari SPA tersebut.
Baiklah, saya selitkan sekeping dua gambar untuk tatapan para pengunjung blog ini. Lihatlah karenah para pelajar menjawab soalan ujian tersebut.

Friday, March 26, 2010

Gambar Sukan MSSD 2010 yang Lalu.






Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Berjumpa lagi kita hari ini 26 Mac 2010. Pertama, maaf saya pinta bagi sesiapa yang mengikuti blog ini kerana lambat sangat update blog ini. Maklumlah, tugas sebagai guru ni memang sentiasa sibuk.

Oklah, tanpa membuang masa biar saya siarkan gambar-gambar yang ada semasa hari sukan MSSD 2010 yang lalu. Tahniah kepada SMK Menumbok yang muncul juara keseluruhan. SMKKP di tempat kedua, SMK Pekan di tempat ketiga dan SMK St. Peter Bundu di tempat keempat.

Wednesday, February 24, 2010

Selamat Bersekolah Kembali

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Selamat Bertemu kembali setelah bercuti sempena Tahun baru Cina. Diharapkan semua pelajar berada dalam keadaan sihat walafiat dan terus segar untuk meneruskan pengajian masing-masing.
Untuk makluman semua, pada tahun ini SMK Kuala Penyu menjadi tuan rumah bagi Sukan MSSD 2010. Sukan MSSD ini akan berlangsung selama 3 hari bermula dari 2-4 Mac 2010. Semua pelajar dijemput hadir bagi memeriahkan lagi hari-hari sukan tersebut.
Minggu ini juga merupakan minggu yang sibuk bagi para atlet dan guru yang menjadi jurulatih. Semuanya sibuk berlatih bagi memastikan Kejuaraan MSSD tahun 2009 dan sebelumnya terus dipegang oleh SMK Kuala Penyu. Syabas kepada semua kerana masih berupaya memastikan Kejuaraan MSSD milik kita.
Untuk makluman juga, pada hari jumaat bersamaan 26 Feb 2010 adalah cuti umum iaitu cuti sempena Maulidul rasul. Baiklah, kita bertemula lagi di lain masa.


ABARA-24Feb2010

Thursday, January 28, 2010

Sukan Tahunan Telah Berakhir





Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada warga SMKKP dan juga bekas warga SMKKP. Acara sukan telah pun berakhir hari ini (28 Januari 2010) seperti biasa, acara kemuncak ialah acara lari 100 Meter dan acara 4 x 100 meter. Keputusan tahun ini nampaknya tidak berubah. Setelah 2 tahun berturut-turut menjadi juara, pada tahun ini Rumah Kuning masih mempertahankan kejuaraan mereka. Tahniah kepada pegurus Rumah Kuning dan semua ahlinya. Teruskan usaha anda semua untuk menjadi atlet yang terbaik.
Namun satu sahaja yang agak tidak enak di lihat apabila catatan rekod tahun-tahun lalu tidak dapat dipecahkan oleh mana-mana atlet. Tak mengapalah, yang pentingnya semangat kesukanan tetap tinggi dalam kalangan atlet-atlet SMKKP.
Untuk makluman warga SMKKP, mulai tahun ini acara sukan untuk tahun hadapan akan diadakan pada bulan November 2010 nanti. Hal demikian kerana untuk memenuhi masa terluang pelajar yang telah tamat peperiksaan dan juga untuk memantapkan proses P&P guru-guru supaya tidak terganggu dengan acara serta latihan sukan apabila persekolahan dimulakan tahun hadapan.
Semoga SMKKP akan "Tatap Cemerlang" dan terus menghasilkan pelajar yang berkualiti. Baiklah kelmarin saya cuba upload gambar semasa acara sukan tahunan tetapi tak dapat. Hari ini saya cuba lagi. Ok jumpa lagi...

ABARA 2010


Akhirnya gambar dapat dimuat naik. Gambar white board tu adalah keputusan final hari terakhir. Gambar atlet perempuan iaitu Shrily Ekop merupakan atlet perempuan SMKKP 2010, manakala yang lelakinya pula ialah Melleus Kimsee. Juara keseluruhan pula ialah RUMAH KUNING. Tahniah diucapkan...

Wednesday, January 27, 2010

Selamat Datang 2010 - Sukan Tahunan SMKKP Kali ke-39.

Selamat menyambut tahun baru dan selamat membuat azam baru. Lama rasanya kita tidak online. Jutaan kemaafan dipohon kepada bekas pelajar SMKKP walau di mana anda berada. Bagi pelajar yang masih belajar, diucapkan selamat kembali dan meneruskan perjuangan anda. Semoga kejayaan akan senantiasa mengiringi anda insyallah.
Baiklah, berbalik kepada topik kita, sekarang sedang berlangsung Acara Sukan Tahunan SMKKP bagi kali yang ke-39 yang bermula pada 26 Januari 2010 hingga 28 Januari 2010. Tahun ini namanya lain sedikit iaitu acara " Kejohanan Padang Dan Balapan Kali ke-39, 2010". Biarpun namanya lain, yang penting pengisiannya kan. Ok, gambarnya nanti saya uploadkan bila sudah selesai acara sukan.
Sementara tu, sebelum saya terlupa, SMKKP mengucapkan selamat bertugas di tempat baru kepada 6 orang guru yang berpindah pada penghujung tahun lalu. Jasa cikgu, ustaz dan ustazah akan dikenang selamanya. Semoga akan menjadi guru yang terbaik di tempat baru nanti.

Pulau Pandan Jauh ketengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.

Ribuan kemaafan kami warga SMKKP pinta jika selama ini ada terkasar bahasa ketika berbicara dan juga minta halalkan jika ada yang termakan atau terminum.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan simpan didalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan didalam hati.

Sekian jumpa lagi 2-3 hari!

ABARA 2010

Wednesday, September 9, 2009

Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya

Assalamualaikum w.b.t kepada semua warga sekolah yang beragama Islam.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya bagi tahun 2009. Semoga bulan ramadhan tahun ini, kita semua mendapat pahala yang banyak, sihat tubuh badan dan murah rezeki atas ibadat puasa yang kita kerjakan. Kepada pelajar sekalian, jadikanlah bulan ramadhan yang mulia ini titik tolak untuk berubah daripada yang jahat kepada tingkahlaku yang baik dan terpuji. Rajin datang ke surau untuk bersolat tarawih dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar kehidupan anda sekeluarga diberkati Allah dan murah rezeki.

sekian,

Bad Hamid Hj.Musli
Pengetua
SMK Kuala Penyu

Wednesday, June 17, 2009

Lagi Gambar Lawatan Kelab Seni Budaya Ke Kudat



Selamat bertemu kembali, sekolah telah bermula, keseronokan bercuti masih terasa. Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Guru dengan kesibukannya, pelajar dengan kesibukannya, pendek kata asal sahaja sekolah bermula, macam-macam perkara yang harus dilakukan, baik oleh guru, pihak pentadbiran mahupun pelajar.




Namun, pelajar harus ingat. Walau sesibuk mana sekalipun, pelajaran janganlah diabaikan. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi (80hari lagi). Begitu jua pelajar SPM yang hanya tinggal 122 hari sahaja lagi bakal beradu kepintaran akal dan kekuatan ingatan dengan kertas-kertas peperiksaan yang mencabar. Tak lupa juga pelajar STPM yang akan menduduki peperiksaan besar mereka pada 18 November 2009. Selamat berjaya diucapkan.




Oklah, kembali kepada tajuk di atas. Tempoh hari saya telah memasukkan hanya sedikit gambar sepanjang lawatan Kelab Seni Budaya ke Kudat. Atas permintaan para pelajar, hari ini saya memasukkan banyak gambar untuk ditatap bersama-sama. Pujilah jika cantik (jangan cemburu), jika tidak cantik janganlah keji.

Friday, June 5, 2009

Lawatan Kelab Seni Budaya ke Kudat















Pada 2 - 3 Jun yang lalu, Kelab Seni Budaya telah mengadakan lawatan ke Kudat. Satu perjalanan yang meletihkan tetapi berbaloi dengan apa yang didapati sepanjang perjalanan lawatan tersebut.


Lawatan ini disertai oleh 6 orang guru iaitu Cikgu Abdullah dan isterinya iaitu Cikgu Sumarni, Cikgu Sharon dan suaminya iaitu Cikgu Cosmas, Cikgu Alister dan Cikgu Rohana. Manakala pelajar pula seramai 8 orang iaitu Marcella, Ennosentia, Florenda, Siti Rafidah, Asmira, Verra, Sonia dan Christine.


Kami memulakan lawatan pada pukul 7.30 pagi dari sekolah dengan menggunakan 4 buah kereta guru. Kami sampai di Putatan pada pukul 9.00 pagi dan terus makan tengah hari di restoran Sri Sempelang memandangkan kami akan melalui perjalanan yang panjang. Perjalanan diteruskan lebih kurang pada 10.00 pagi.
Pada pukul 12.00 tengah hari kami sampai di stesyen petronas sebelum Pekan Kota Belud dan menyegarkan diri di sana serta berhenti rehat sekejap. Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui jalan pintas Kota Belud - Taun Gusi bagi mempercepatkan perjalanan. Sepanjang kiri kanan jalan tersebut, kami dihidangkan dengan permandangan sawah padi yang terbentang luas. Teringat pula sewaktu di negeri Kedah.
Setelah melalui perjalanan yang penuh berliku serta naik turun bukit, akhirnya kami sampai jua di Matunggong. Tempat pertama yang kami tujui ialah Ladang Madu Lebah di Kampung Gambizau. Di sana, kami dapat menyaksikan sendiri bagaimana madu lebah diambil dari sarangnya yang dibina dalam kekotak kayu. Apa yang paling mengujakan, semua ahli rombongan dapat merasai sendiri madu yang baru dituai. Sungguh asli lagi sedap rasanya. Kami tidak melepaskan peluang membeli madu lebah asli serta sarang lebah yang mengandungi madu pada harga yang berpatutan.
Selesai di Gambizau, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Sumangkap iaitu tempat penghasilan gong. Yang terletak hanya beberapa ratus meter jalan masuknya dari jalan masuk ke Kampung Gambizau. Di sana kami dapat melihat bagaimana gong di hasilkan. Malah ada pelajar dan guru yang mencuba mengetuk besi bagi membuat gong. Suatu pengalaman yang menyeronokkan. Di sana juga, kami dapat melihat pelbagai jenis gong dipamerkan. Dari gong yang paling kecil hinggalah ke gong yang paling besar iaitu berukur lilit 12 kaki. Gong ini dihasilkan pada hujung tahun 2008 sempena sambutan Hari Gong yang diadakan di Kampung Sumangkap.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Rumah Panjang Rungus (Maranjak Long House Homestay). Kami bermalam di sana. Pada waktu malam, kami dihiburkan dengan persembahan tarian mongigol dan tarian mangunatip. Apa yang paling menyeronokkan dan menghangatkan suasana ialah, para peserta rombongan di bawa bersama-sama menarikan tarian tersebut. Terasa lucu serta gembira melihat gelagat para guru dan para pelajar menari tarian tradisi tersebut. Kemudian kami meneruskan aktiviti masing-masing dan tidur.
Seawal 5.30 pagi kami telah bangun dan mandi dengan menggunakan air dari pam graviti yang menyegarkan serta mula bersarapan pada pukul 7.00 pagi. Kami sangat teruja untuk melakukan perjalanan seterusnya ke Bandar Kudat. Kami sampai di Bandar Kudat pada pukul 10.30 pagi dan terus pergi menjamu mata serta membeli barangan di Tamu Kudat. Selesai di Tamu Kudat, kami menjamu selera merangkap makan tengah hari di KFC Kudat.
Kemudian kami bertolak pulang ke Kuala Penyu. Tetapi ada satu lagi kejutan, perjalanan lawatan kami tidak akan lengkap jika kami tidak singgah di Tanjong Simpang Mengayau atau juga di kenali "The Tip of Borneo". Setelah melalui jalan aspal dan gravel lebih kurang 15 km, akhirnya kami sampai di sana. Permandangannya sangat indah dan mengasyikkan. Air lautnya yang biru serta jernih tanpa sebarang pencemaran. Bayu laut yang bertiup sangat menyegarkan serta kedamaiannya memang sukar dicari.
Setelah hampir 2 jam meneroka serta bergambar Tanjong Simpang Mengayau, kami pun bergerak pulang melalui jalan yang sama semasa kami datang. Kami sampai di Membakut lebih kurang pada pukul 8.30 malam. Setelah menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing, para guru pun pulang. Walaupun terasa amat letih sehingga Cikgu Alister demam-demam, namun pengalaman yang kami dapat takkan dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan.
Sekian seadanya catatan perjalan kami, jika panjang umur, tahun depan Kelab Seni Budaya akan menjelajah Sabah lagi. Siapa hendak ikut, sila daftarkan diri.
Kalau ada sumur di ladang,
Mari kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
AbArA - Jumaat 11.29am

Wednesday, May 27, 2009

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SMKKP - 28 MEI 2009

Esok (28 Mei 2009) para pelajar SMK Kuala Penyu akan bersama-sama menganjurkan majlis bagi menghargai guru-guru SMKKP sempena hari guru yang ke-38 dengan mengadakan pelbagai acara seperti sukaneka, lakonan dan sebagainya. Terima kasih daun keladi kepada Persatuan Pelajar Tingkatan Enam (PERTENA) di bawah bimbingan Cikgu Jamaludin Adap kerana bersusah-payah menganjurkan acara berkenaan.
Hanya serangkap pantun moyang kita yang dapat diberikan:

Pulau Pandan Jauh Ke tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga;
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Budi Yang Baik Dikenang Jua.

Pisang Emas Dibawa Belayar,
Masak Sebiji Di atas Peti;
Hutang Emas Boleh Dibayar,
Hutang Budi Dibawa Mati.

Diharapkan para guru terus cemerlang menjalankan tugas, manakala para pelajar terus mencemerlangkan diri masing-masing dalam apa jua bidang yang diceburi.

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Setiap tahun pada 16 Mei, seluruh negara akan menyambut "Hari Guru".
Untuk itu saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan SELAMAT
MENYAMBUT HARI GURU kepada semua guru walau di mana anda bertugas.
Tahun ini GURU PEMBINA NEGARA BANGSA dijadikan tema sambutan. Jika
ditafsir tema ini sangat besar impaknya kepada semua warga pendidik. Umum
semua bangsa bersetuju bahawa tanpa guru seseorang itu tidak akan mengenal
huruf, tidak akan mengenal angka. Jika ada yang mengatakan bahawa mereka
mengenal huruf dan angka kerana ibu bapanya, itu adalah silap. Secara jujur cuba
tanya ibu bapa anda, waktu kecil dahulu ketika masih bersekolah, siapa yang mengajar
mereka. Tentulah Guru...kan! Golongan guru pun menjadi guru kerana mendapat didikan
daripada guru-guru. Jadi hormatilah guru anda, walaupun mereka tidak sehebat ibu bapa
anda. Tapi bagi anda yang mempunyai ibu atau bapa yang bertugas sebagai guru,
alangkah bertuahnya anda kerana mendapat insan yang mulia sebagai ibubapa dan
juga sebagai guru. Hormatilah mereka, dengarlah nasihat mereka. Semoga anda
menjadi insan yang baik. Kepada semua guru, janganlah kerana seorang pelajar
yang nakal, kurang ajar, degil, pemalas, pelajar-pelajar yang lain turut mendapat
hukuman yang sama. Dalam setandan pisang tidak semuanya pahit, mesti ada yang manis.
Sekian...selamat hari guru.

Mohon Maaf..!!

Sudah 4 bulan blog ini tidak dikemaskini. Mohon maaf jika anda rasa kecewa.
Lagi pun sekolah ada masalah talian internet. InsyaAllah dalam beberapa minggu ini
saya akan cuba luangkan masa untuk upload gambar-gambar baru.Tunggu saja.

Tuesday, January 27, 2009

Kembali Ke Sekolah

Tahun 2008 sudah hampir sebulan kita tinggalkan, kini tahun 2009 kita lalui. Semua perkara yang berlaku pada tahun 2008 kita biarkan menjadi sejarah dalam hidup masing-masing. Biarlah kita hadapi tahun baru 2009 ini dengan azam dan tekad yang baru. Sebagai warga SMK Kuala Penyu tidak kira apa juga gelaran, pentadbir sekolah, guru sekolah, ktbm sekolah dan pelajar sekolah, marilah kita semua berusaha untuk memastikan kejayaan terus menjadi kenyataan. Kecemerlangan sekolah bukan terletak kepada pihak pentadbir sahaja, tetapi semua guru, semua ktbm dan semua pelajar harus bersama-sama memainkan peranan dan tanggungjawabnya. Ibarat di mana bumi di pijak di situ langit di junjung.