Wednesday, September 9, 2009

Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya

Assalamualaikum w.b.t kepada semua warga sekolah yang beragama Islam.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya bagi tahun 2009. Semoga bulan ramadhan tahun ini, kita semua mendapat pahala yang banyak, sihat tubuh badan dan murah rezeki atas ibadat puasa yang kita kerjakan. Kepada pelajar sekalian, jadikanlah bulan ramadhan yang mulia ini titik tolak untuk berubah daripada yang jahat kepada tingkahlaku yang baik dan terpuji. Rajin datang ke surau untuk bersolat tarawih dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar kehidupan anda sekeluarga diberkati Allah dan murah rezeki.

sekian,

Bad Hamid Hj.Musli
Pengetua
SMK Kuala Penyu

Wednesday, June 17, 2009

Lagi Gambar Lawatan Kelab Seni Budaya Ke Kudat



Selamat bertemu kembali, sekolah telah bermula, keseronokan bercuti masih terasa. Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Guru dengan kesibukannya, pelajar dengan kesibukannya, pendek kata asal sahaja sekolah bermula, macam-macam perkara yang harus dilakukan, baik oleh guru, pihak pentadbiran mahupun pelajar.




Namun, pelajar harus ingat. Walau sesibuk mana sekalipun, pelajaran janganlah diabaikan. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi (80hari lagi). Begitu jua pelajar SPM yang hanya tinggal 122 hari sahaja lagi bakal beradu kepintaran akal dan kekuatan ingatan dengan kertas-kertas peperiksaan yang mencabar. Tak lupa juga pelajar STPM yang akan menduduki peperiksaan besar mereka pada 18 November 2009. Selamat berjaya diucapkan.




Oklah, kembali kepada tajuk di atas. Tempoh hari saya telah memasukkan hanya sedikit gambar sepanjang lawatan Kelab Seni Budaya ke Kudat. Atas permintaan para pelajar, hari ini saya memasukkan banyak gambar untuk ditatap bersama-sama. Pujilah jika cantik (jangan cemburu), jika tidak cantik janganlah keji.

Friday, June 5, 2009

Lawatan Kelab Seni Budaya ke Kudat















Pada 2 - 3 Jun yang lalu, Kelab Seni Budaya telah mengadakan lawatan ke Kudat. Satu perjalanan yang meletihkan tetapi berbaloi dengan apa yang didapati sepanjang perjalanan lawatan tersebut.


Lawatan ini disertai oleh 6 orang guru iaitu Cikgu Abdullah dan isterinya iaitu Cikgu Sumarni, Cikgu Sharon dan suaminya iaitu Cikgu Cosmas, Cikgu Alister dan Cikgu Rohana. Manakala pelajar pula seramai 8 orang iaitu Marcella, Ennosentia, Florenda, Siti Rafidah, Asmira, Verra, Sonia dan Christine.


Kami memulakan lawatan pada pukul 7.30 pagi dari sekolah dengan menggunakan 4 buah kereta guru. Kami sampai di Putatan pada pukul 9.00 pagi dan terus makan tengah hari di restoran Sri Sempelang memandangkan kami akan melalui perjalanan yang panjang. Perjalanan diteruskan lebih kurang pada 10.00 pagi.
Pada pukul 12.00 tengah hari kami sampai di stesyen petronas sebelum Pekan Kota Belud dan menyegarkan diri di sana serta berhenti rehat sekejap. Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui jalan pintas Kota Belud - Taun Gusi bagi mempercepatkan perjalanan. Sepanjang kiri kanan jalan tersebut, kami dihidangkan dengan permandangan sawah padi yang terbentang luas. Teringat pula sewaktu di negeri Kedah.
Setelah melalui perjalanan yang penuh berliku serta naik turun bukit, akhirnya kami sampai jua di Matunggong. Tempat pertama yang kami tujui ialah Ladang Madu Lebah di Kampung Gambizau. Di sana, kami dapat menyaksikan sendiri bagaimana madu lebah diambil dari sarangnya yang dibina dalam kekotak kayu. Apa yang paling mengujakan, semua ahli rombongan dapat merasai sendiri madu yang baru dituai. Sungguh asli lagi sedap rasanya. Kami tidak melepaskan peluang membeli madu lebah asli serta sarang lebah yang mengandungi madu pada harga yang berpatutan.
Selesai di Gambizau, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Sumangkap iaitu tempat penghasilan gong. Yang terletak hanya beberapa ratus meter jalan masuknya dari jalan masuk ke Kampung Gambizau. Di sana kami dapat melihat bagaimana gong di hasilkan. Malah ada pelajar dan guru yang mencuba mengetuk besi bagi membuat gong. Suatu pengalaman yang menyeronokkan. Di sana juga, kami dapat melihat pelbagai jenis gong dipamerkan. Dari gong yang paling kecil hinggalah ke gong yang paling besar iaitu berukur lilit 12 kaki. Gong ini dihasilkan pada hujung tahun 2008 sempena sambutan Hari Gong yang diadakan di Kampung Sumangkap.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Rumah Panjang Rungus (Maranjak Long House Homestay). Kami bermalam di sana. Pada waktu malam, kami dihiburkan dengan persembahan tarian mongigol dan tarian mangunatip. Apa yang paling menyeronokkan dan menghangatkan suasana ialah, para peserta rombongan di bawa bersama-sama menarikan tarian tersebut. Terasa lucu serta gembira melihat gelagat para guru dan para pelajar menari tarian tradisi tersebut. Kemudian kami meneruskan aktiviti masing-masing dan tidur.
Seawal 5.30 pagi kami telah bangun dan mandi dengan menggunakan air dari pam graviti yang menyegarkan serta mula bersarapan pada pukul 7.00 pagi. Kami sangat teruja untuk melakukan perjalanan seterusnya ke Bandar Kudat. Kami sampai di Bandar Kudat pada pukul 10.30 pagi dan terus pergi menjamu mata serta membeli barangan di Tamu Kudat. Selesai di Tamu Kudat, kami menjamu selera merangkap makan tengah hari di KFC Kudat.
Kemudian kami bertolak pulang ke Kuala Penyu. Tetapi ada satu lagi kejutan, perjalanan lawatan kami tidak akan lengkap jika kami tidak singgah di Tanjong Simpang Mengayau atau juga di kenali "The Tip of Borneo". Setelah melalui jalan aspal dan gravel lebih kurang 15 km, akhirnya kami sampai di sana. Permandangannya sangat indah dan mengasyikkan. Air lautnya yang biru serta jernih tanpa sebarang pencemaran. Bayu laut yang bertiup sangat menyegarkan serta kedamaiannya memang sukar dicari.
Setelah hampir 2 jam meneroka serta bergambar Tanjong Simpang Mengayau, kami pun bergerak pulang melalui jalan yang sama semasa kami datang. Kami sampai di Membakut lebih kurang pada pukul 8.30 malam. Setelah menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing, para guru pun pulang. Walaupun terasa amat letih sehingga Cikgu Alister demam-demam, namun pengalaman yang kami dapat takkan dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan.
Sekian seadanya catatan perjalan kami, jika panjang umur, tahun depan Kelab Seni Budaya akan menjelajah Sabah lagi. Siapa hendak ikut, sila daftarkan diri.
Kalau ada sumur di ladang,
Mari kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
AbArA - Jumaat 11.29am

Wednesday, May 27, 2009

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SMKKP - 28 MEI 2009

Esok (28 Mei 2009) para pelajar SMK Kuala Penyu akan bersama-sama menganjurkan majlis bagi menghargai guru-guru SMKKP sempena hari guru yang ke-38 dengan mengadakan pelbagai acara seperti sukaneka, lakonan dan sebagainya. Terima kasih daun keladi kepada Persatuan Pelajar Tingkatan Enam (PERTENA) di bawah bimbingan Cikgu Jamaludin Adap kerana bersusah-payah menganjurkan acara berkenaan.
Hanya serangkap pantun moyang kita yang dapat diberikan:

Pulau Pandan Jauh Ke tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga;
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Budi Yang Baik Dikenang Jua.

Pisang Emas Dibawa Belayar,
Masak Sebiji Di atas Peti;
Hutang Emas Boleh Dibayar,
Hutang Budi Dibawa Mati.

Diharapkan para guru terus cemerlang menjalankan tugas, manakala para pelajar terus mencemerlangkan diri masing-masing dalam apa jua bidang yang diceburi.

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Setiap tahun pada 16 Mei, seluruh negara akan menyambut "Hari Guru".
Untuk itu saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan SELAMAT
MENYAMBUT HARI GURU kepada semua guru walau di mana anda bertugas.
Tahun ini GURU PEMBINA NEGARA BANGSA dijadikan tema sambutan. Jika
ditafsir tema ini sangat besar impaknya kepada semua warga pendidik. Umum
semua bangsa bersetuju bahawa tanpa guru seseorang itu tidak akan mengenal
huruf, tidak akan mengenal angka. Jika ada yang mengatakan bahawa mereka
mengenal huruf dan angka kerana ibu bapanya, itu adalah silap. Secara jujur cuba
tanya ibu bapa anda, waktu kecil dahulu ketika masih bersekolah, siapa yang mengajar
mereka. Tentulah Guru...kan! Golongan guru pun menjadi guru kerana mendapat didikan
daripada guru-guru. Jadi hormatilah guru anda, walaupun mereka tidak sehebat ibu bapa
anda. Tapi bagi anda yang mempunyai ibu atau bapa yang bertugas sebagai guru,
alangkah bertuahnya anda kerana mendapat insan yang mulia sebagai ibubapa dan
juga sebagai guru. Hormatilah mereka, dengarlah nasihat mereka. Semoga anda
menjadi insan yang baik. Kepada semua guru, janganlah kerana seorang pelajar
yang nakal, kurang ajar, degil, pemalas, pelajar-pelajar yang lain turut mendapat
hukuman yang sama. Dalam setandan pisang tidak semuanya pahit, mesti ada yang manis.
Sekian...selamat hari guru.

Mohon Maaf..!!

Sudah 4 bulan blog ini tidak dikemaskini. Mohon maaf jika anda rasa kecewa.
Lagi pun sekolah ada masalah talian internet. InsyaAllah dalam beberapa minggu ini
saya akan cuba luangkan masa untuk upload gambar-gambar baru.Tunggu saja.

Tuesday, January 27, 2009

Kembali Ke Sekolah

Tahun 2008 sudah hampir sebulan kita tinggalkan, kini tahun 2009 kita lalui. Semua perkara yang berlaku pada tahun 2008 kita biarkan menjadi sejarah dalam hidup masing-masing. Biarlah kita hadapi tahun baru 2009 ini dengan azam dan tekad yang baru. Sebagai warga SMK Kuala Penyu tidak kira apa juga gelaran, pentadbir sekolah, guru sekolah, ktbm sekolah dan pelajar sekolah, marilah kita semua berusaha untuk memastikan kejayaan terus menjadi kenyataan. Kecemerlangan sekolah bukan terletak kepada pihak pentadbir sahaja, tetapi semua guru, semua ktbm dan semua pelajar harus bersama-sama memainkan peranan dan tanggungjawabnya. Ibarat di mana bumi di pijak di situ langit di junjung.