Pada 2 - 3 Jun yang lalu, Kelab Seni Budaya telah mengadakan lawatan ke Kudat. Satu perjalanan yang meletihkan tetapi berbaloi dengan apa yang didapati sepanjang perjalanan lawatan tersebut.
Lawatan ini disertai oleh 6 orang guru iaitu Cikgu Abdullah dan isterinya iaitu Cikgu Sumarni, Cikgu Sharon dan suaminya iaitu Cikgu Cosmas, Cikgu Alister dan Cikgu Rohana. Manakala pelajar pula seramai 8 orang iaitu Marcella, Ennosentia, Florenda, Siti Rafidah, Asmira, Verra, Sonia dan Christine.
Kami memulakan lawatan pada pukul 7.30 pagi dari sekolah dengan menggunakan 4 buah kereta guru. Kami sampai di Putatan pada pukul 9.00 pagi dan terus makan tengah hari di restoran Sri Sempelang memandangkan kami akan melalui perjalanan yang panjang. Perjalanan diteruskan lebih kurang pada 10.00 pagi.
Pada pukul 12.00 tengah hari kami sampai di stesyen petronas sebelum Pekan Kota Belud dan menyegarkan diri di sana serta berhenti rehat sekejap. Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui jalan pintas Kota Belud - Taun Gusi bagi mempercepatkan perjalanan. Sepanjang kiri kanan jalan tersebut, kami dihidangkan dengan permandangan sawah padi yang terbentang luas. Teringat pula sewaktu di negeri Kedah.
Setelah melalui perjalanan yang penuh berliku serta naik turun bukit, akhirnya kami sampai jua di Matunggong. Tempat pertama yang kami tujui ialah Ladang Madu Lebah di Kampung Gambizau. Di sana, kami dapat menyaksikan sendiri bagaimana madu lebah diambil dari sarangnya yang dibina dalam kekotak kayu. Apa yang paling mengujakan, semua ahli rombongan dapat merasai sendiri madu yang baru dituai. Sungguh asli lagi sedap rasanya. Kami tidak melepaskan peluang membeli madu lebah asli serta sarang lebah yang mengandungi madu pada harga yang berpatutan.
Selesai di Gambizau, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Sumangkap iaitu tempat penghasilan gong. Yang terletak hanya beberapa ratus meter jalan masuknya dari jalan masuk ke Kampung Gambizau. Di sana kami dapat melihat bagaimana gong di hasilkan. Malah ada pelajar dan guru yang mencuba mengetuk besi bagi membuat gong. Suatu pengalaman yang menyeronokkan. Di sana juga, kami dapat melihat pelbagai jenis gong dipamerkan. Dari gong yang paling kecil hinggalah ke gong yang paling besar iaitu berukur lilit 12 kaki. Gong ini dihasilkan pada hujung tahun 2008 sempena sambutan Hari Gong yang diadakan di Kampung Sumangkap.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Rumah Panjang Rungus (Maranjak Long House Homestay). Kami bermalam di sana. Pada waktu malam, kami dihiburkan dengan persembahan tarian mongigol dan tarian mangunatip. Apa yang paling menyeronokkan dan menghangatkan suasana ialah, para peserta rombongan di bawa bersama-sama menarikan tarian tersebut. Terasa lucu serta gembira melihat gelagat para guru dan para pelajar menari tarian tradisi tersebut. Kemudian kami meneruskan aktiviti masing-masing dan tidur.
Seawal 5.30 pagi kami telah bangun dan mandi dengan menggunakan air dari pam graviti yang menyegarkan serta mula bersarapan pada pukul 7.00 pagi. Kami sangat teruja untuk melakukan perjalanan seterusnya ke Bandar Kudat. Kami sampai di Bandar Kudat pada pukul 10.30 pagi dan terus pergi menjamu mata serta membeli barangan di Tamu Kudat. Selesai di Tamu Kudat, kami menjamu selera merangkap makan tengah hari di KFC Kudat.
Kemudian kami bertolak pulang ke Kuala Penyu. Tetapi ada satu lagi kejutan, perjalanan lawatan kami tidak akan lengkap jika kami tidak singgah di Tanjong Simpang Mengayau atau juga di kenali "The Tip of Borneo". Setelah melalui jalan aspal dan gravel lebih kurang 15 km, akhirnya kami sampai di sana. Permandangannya sangat indah dan mengasyikkan. Air lautnya yang biru serta jernih tanpa sebarang pencemaran. Bayu laut yang bertiup sangat menyegarkan serta kedamaiannya memang sukar dicari.
Setelah hampir 2 jam meneroka serta bergambar Tanjong Simpang Mengayau, kami pun bergerak pulang melalui jalan yang sama semasa kami datang. Kami sampai di Membakut lebih kurang pada pukul 8.30 malam. Setelah menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing, para guru pun pulang. Walaupun terasa amat letih sehingga Cikgu Alister demam-demam, namun pengalaman yang kami dapat takkan dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan.
Sekian seadanya catatan perjalan kami, jika panjang umur, tahun depan Kelab Seni Budaya akan menjelajah Sabah lagi. Siapa hendak ikut, sila daftarkan diri.
Kalau ada sumur di ladang,
Mari kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
AbArA - Jumaat 11.29am
No comments:
Post a Comment