Saturday, March 24, 2012

Juara Kejohanan Bola Sepak MSSD Kuala Penyu 2012

Walaupun tanpa piala untuk dijulang, pasukan bola sepak SMK Kuala Penyu berjaya menjadi juara kategori umur 18 dan 15 tahun. Ucapan tahniah kepada semua pemain serta jurulatih (Cikgu Masdon) atas kejayaan berganda tahun ini. Kejayaan anda semua menjadi kebanggaan warga SMKKP.

Tuesday, March 13, 2012

Menjiwai profesion keguruan

TAHNIAH kepada guru-guru yang baru dilantik untuk memulakan tugas mereka sebagai seorang pendidik seperti yang dicita-citakan selama ini. Anda mungkin ditempatkan di kawasan yang menjadi pilihan anda atau berada di tempat yang belum pernah anda tinggal di situ. Di mana sahaja anda berada syukur alhamdulliah kerana anda sudah berkerja dan sedang melalui satu proses kehidupan yang baru.

Sebagai seorang penjawat awam yang bergelar guru anda harus menyesuaikan diri serta menjiwai profesion keguruan sepenuh hati. Menjiwai profesion keguruan bererti anda harus meletakkan diri anda secara fizikal, mental dan spiritual dalam situasi mendidik untuk memenuhi harapan anak-anak yang dahagakan ilmu dan bimbingan anda.

“Assalamualaikan cikgu” begitulah kata-kata keramat yang hanya dilontarkan kepada golongan guru seperti anda. Kata-kata keramat ini meletakkan anda sebagai pemimpin mereka dan kata-kata keramat ini juga diletakkan ke atas bahu anda untuk dipikul sebagai salah satu tanggungjawab ke arah memartabatkan profesion keguruan.

Dalam melaksanakan tugas anda di sekolah, anda seharusnya mampu membuat satu bentuk transformasi diri berlandaskan beberapa perkara yang dinyatakan di bawah ini.

  • Fizikal:
    Setiap gerakgeri anda diamati dan dikagumi dan setiap amalan dan tindakan anda akan dicontohi. Dalam hal ini anda harus mempunyai disiplin yang tinggi, personaliti yang boleh dihormati dan gaya hidup yang murni. Kekemasan, kesederhanaan dan keprihatinan merupakan amalan yang suci dan pintu rahmat daripada Ilahi.
  • Mental:
    Pemikiran anda harus matang dan dapat berfikir di luar kotak. Anda harus tegas membuat keputusan, arif mengemukakan pandangan dan ikhlas memberi teguran. Buah fikiran yang bernas mampu menyakinkan mereka dan seterusnya mampu menerapkan ilmu dan kemahiran ke arah membentuk satu generasi baru yang dinamis serta progresif untuk memenuhi wawasan negara.
  • Spiritual:
    Hati anda harus kukuh, jiwa anda harus tenang dan semangat anda harus kental dalam apa jua tindakan dan cabaran yang melintang dalam usaha menongkah arus kehidupan. Jangan dibiarkan air mata berlinangan hanya kerana mengikut perasaan tetapi basahilah ia dengan keringat yang hasilnya membawa insan-insan kecil ke mercu kejayaan.

Tiada permaidani merah yang menyambut anda, tiada paluan kompang dan bunga manggar mengiringi anda tetapi hanya doa dan harapan setinggi gunung menunggu kedatangan anda. Sesungguhnya sumbangan dan pengorbanan anda amat dihargai dan dinanti-nantikan selama ini.

Monday, March 12, 2012

Prorgam Guru Penyayang


Menyambut mesra para pelajar yang hadir ke sekolah. Kelihatan dalam gambar PK.Hem dan PK.Kokum serta beberapa orang guru sedang memberi ucapan "Selamat Datang Ke Sekolah". Semoga program ini akan mengeratkan lagi hubungan guru dengan pelajar.