Pada 30 Mac hingga 1 April 2011 yang lalu, telah diadakan satu bengkel penulisan kreatif iaitu bengkel menulis cerpen yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah bersama-sama dengan SMK Kuala Penyu. Bengkel yang diadakan selama 2 hari setengah itu sangat bermakna kerana segala curahan ilmu oleh saudara
Jasni Matlani berkaitan penulisan cerpen telah banyak membantu dalam memberi kefahaman kepada guru-guru dan 27 orang pelajar dari 4 buah sekolah yang terlibat.
Semua 3 buah sekolah menengah yang lain menghantar wakil pelajar diiringi oleh guru pengiring masing-masing. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada guru-guru dari SMK Menumbok, SMK St. Peter Bundu dan SMK Pekan Kuala Penyu kerana tidak jemu-jemu membawa pelajar masing-masing menghadiri bengkel tersebut.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada wakil DBP Cawangan Sabah iaitu En. Noordin Zainal Abidin kerana sudi memilih SMK Kuala Penyu sebagai tuan rumah bengkel berkenaan. Tidak lupa kepada saudara Jasni Matlani yang tidak lokek mencurahkan ilmu dan pengalaman beliau dalam menghasilkan cerpen. Ribuan terima kasih juga kepada Y.B. Dato Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukim kerana menyumbangtaja banyak koleksi cerpen karya saudara Jasni Matlani iaitu yang terbaru "Laron" (belum ada di pasaran) dan juga koleksi cerpen selenggarannya iaitu "Emas Hitam" yang memuatkan karya pemenang Hadiah SEDCO-BAHASA ke-2 (juga belum ada di pasaran). Tidak lupa juga kepada Penolong Kanan KoKurikulum iaitu En. Teo Gun Fah dan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Penyu iaitu En. Ab. Mastan Bin Haji Ahmad kerana sudi hadir dan menceriakan lagi Majlis Penutupan bengkel tersebut.
Berbalik kepada Bengkel Penulisan Kreatif, ilmu yang dicurahkan oleh saudara Jasni sememangnya sangat bermanfaat kerana dalam tempoh 2 hari sahaja, para pelajar yang menyertai bengkel tersebut sudah dapat menghasilkan cerpen mereka sendiri. Pada hari terakhir, beliau telah memilih beberapa buah cerpen peserta bengkel untuk dimurnikan lagi dan mungkin akan diterbitkan dalam majalah jika bernasib baik.
Gambar foto bengkel berkenaan akan dimuat naik sedikit masa lagi kerana talian broad band tidak mengizinkan pada masa kini.