Wednesday, May 5, 2010

SELAMAT DATANG PELAJAR TINGKATAN 6 RENDAH 2010

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Selamat datang diucapkan kepada para pelajar yang akan mendaftar masuk ke tingkatan 6 Rendah bagi sesi 2010 pada 10 Mei 2010 nanti. Tahniah diucapkan kerana telah terpilih sebagai warga SMKKP bagi pelajar dari SMK St. Peter Bundu dan lain-lain sekolah. Selamat kembali bagi pelajar SMKKP. Jangan lagi tidur-tidur, bangun dan persiapkan diri bagi menghadapi era globalisasi yang tidak ada belas kasihan terhadap mereka yang culas dan luweh. Tanamkan azam baru bagi menelusuri perjalanan sebagai pelajar Pra-Universiti yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Baiklah, sebelum saya terlupa, saya ingin maklumkan bahawa pada 7 - 9 Mei 2010 nanti SMKKP akan mengadakan aktiviti bersama BTN khusus untuk para pelajar kelas peperiksaan. Diharapkan para pelajar yang terpilih akan bersiap sedia. Surat makluman telah diedarkan kepada ibu bapa pelajar. Manfaatkan sebaiknya peluang yang diberikan oleh pihak BTN untuk meningkatkan potensi diri anda ke tahap semaksima yang boleh.
Tahniah juga kepada para pelajar kelas peperiksaan kerana telah dipilih untuk menghuni Asrama SMKKP. Anda sangat bertuah kerana pihak sekolah sangat perihatin terhadap pelajaran anda. Oleh itu, manfaatkanlah peluang ini sebaik-baiknya. Tinggal di asrama akan memudahkan anda mengikuti kelas tambahan dan juga memudahkan anda membentuk perkumpulan pelajar (study group). Gunakan peluang yang diberi sepenuhnya.
Belajarlah bersungguh-sungguh, tawakkal kepada Allah dan ingatlah ibu bapa anda yang menaruh segunung harapan terhadap anda. Jumpa lagi di lain lembaran sesawang.